بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Katok, Selasa, 28 Safar 1446 bersamaan 03 September 2024–Ke arah mendukung matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok pagi tadi mengungkayahkan Pertandingan Kuiz bagi Mata Pelajaran Brunei-Cambridge GCE 'O' Level.
Program tersebut melibatkan lebih 54 orang pelajar Tahun 10 Fast Track dan Tahun 11 dari 3 buah sekolah Arab, iaitu Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ma'had Islam Brunei, dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selaku tuan rumah.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dayang Haslinah Susanti binti Haji Md Hassan, Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Yang Mulia Ustaz Ali Moustafa Ali El Saghir. Seterusnya, ucapan alu-aluan dari Yang Mulia Ustazah Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Zinin, Pemangku Pengetua Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Antara tujuan program diadakan adalah untuk mendedahkan para pelajar dengan pelbagai aplikasi atas talian sekaligus menjadikan pelajar celik teknologi dan meningkatkan motivasi serta kegigihan pelajar-pelajar untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan Brunei-Cambridge GCE 'O' Level yang tidak lama lagi dan memperolehi kejayaan yang cemerlang. Selain itu, aktiviti ini juga untuk menanamkan sifat bekerjasama dan berdaya saing sesama rakan.
Acara yang dijalankan ini merupakan salah satu perisian Program Ilal Majdi Wal 'Ula anjuran Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam bagi mendukung inisiatif Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2020-2024.
Foto: JPI