بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Daerah Belait, Rabu, 30 Safar 1446 bersamaan 04 September 2024–Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Daerah Belait telah menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran Secara Murattal bagi Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Jemaah Masjid, Muslimah Masjid, Warga Emas Berumur 60 Tahun Ke Atas Senegara Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 Tahun 1446H/2024M. Pertandingan diadakan di masjid berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Antara tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk menyahut Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dan rakyatnya celik Al-Quran. Di samping untuk meraih keberkatan dan syafaat Al-Quran dengan menanamkan budaya suka membaca Al-Quran dalam kalangan warga emas, acara ini juga dihasrat untuk meningkatkan semangat para warga emas agar lebih mencintai dan mendalami ilmu Al-Quran khususnya ilmu bacaan secara murattal dan ilmu tajwid. Pada masa yang sama, pertandingan seumpama ini juga dapat memberi peluang kepada golongan warga emas untuk mempersembahkan bacaan Al-Quran di khalayak ramai dengan cara yang baik sekaligus mencungkil bakat dan kebolehan mereka dalam pembacaan Al-Quran.
Melalui aktiviti yang berkebajikan ini, pihak penganjur berharap semua objektif pertandingan tersebut dapat dicapai selain untuk menarik lebih ramai masyarakat Islam untuk sama-sama sentiasa memakmurkan masjid.
Foto: JHEM