بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Belait, Ahad, 25 Rabiulawal 1446 bersamaan 29 September 2024–Rombongan para pegawai dan kakitangan daripada Pejabat Unit Da'wah Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan lawatan ke Kelas Bimbingan Muallaf di Masjid Sungai Liang dan Bangunan Persatuan Sinar Islam, Daerah Belait.
Lawatan tersebut diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, Ketua Unit Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah.
Kelas Bimbingan ini telah dilaksanakan sejak bulan Oktober 2020, dan ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Da'wah Islamiah bagi menggalakkan lagi para muallaf untuk mempelajari Al-Qur'an dan Iqra. Lebih kurang seramai 32 orang muallaf telah mengikuti Kelas Bimbingan Muallaf di Masjid Kampung Sungai Liang, dan seramai 17 orang mengikuti Kelas Bimbingan Muallaf di Bangunan Persatuan Sinar Islam. Kelas Bimbingan Muallaf ini diadakan setiap hari Jumaat dan Ahad yang dibimbing oleh Tenaga Pengajar daripada Pejabat Unit Da'wah Daerah Belait.
Dengan adanya lawatan seumpama ini diharap dapat meningkatkan lagi mutu pembacaan Al-Quran para Muallaf di negara ini serta dapat menarik minat saudara-saudara baru untuk mengikuti kelas mengaji Al-Quran di samping menjadi wadah bagi menyuntik semangat para Muallaf agar mengikuti acara-acara keugamaan di peringkat negara dan seterusnya serantau.