Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENGISLAMAN DUA ORANG ADIK BERADIK PUAK DUSUN

29 September 2024

MAJLIS PENGISLAMAN DUA ORANG ADIK BERADIK PUAK DUSUN

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​​

Tutong, Ahad, 25 Rabiulawal 1446 bersamaan 29 September 2024-Dua orang adik beradik perempuan puak Dusun, Dayang Wahroseliza binti Buah dan Dayang Wahroseliaa binti Buah, masing-masing berumur 27 dan 21 tahun, melafazkan Dua Kalimah Syahadah di Majlis Pengislaman pagi tadi di kediaman mereka bertempat di Kampung Pak Bidang Ukong, Daerah Tutong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Turut hadir, Yang Behormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Ukong; Yang Mulia Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad, Pemangku Pegawai Daerah Tutong; dan Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Mejar Narulismandy @ Anwar Hadi bin Haji Samaih dari Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Disusuli dengan bacaan Surah Al-Mu'minun ayat 1 hingga 11 oleh Yang Mulia Kapten Muhd Nasyrul Wafiy bin Haji Mahdini, Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Majlis diteruskan dengan Lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Dayang Wahroseliza binti Buah dan Dayang Wahroseliaa binti Buah yang masing-masing memilih nama Islam mereka sebagai Dayang Wahroseliza binti Abdullah Buah dan Dayang Wahroseliaa binti Abdullah Buah.  Majlis Pengislaman tersebut disempurnakan oleh Pegawai Pengislaman daripada Pejabat Unit Da'wah Daerah Tutong, Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah. 

Diikuti dengan Laungan Takbir sebanyak tiga kali dan bacaan Doa Pengislaman.  Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai.   Seterusnya, penyampaian cenderahati disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis kepada saudara-saudara baharu yang diraikan. 

Bagi memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Mejar Narulismandy @ Anwar Hadi bin Haji Samaih, Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Sejak awal Januari hingga 28 September 2024, seramai 232 orang telah memeluk ugama Islam di seluruh Negara Brunei Darussalam. Dari jumlah tersebut, seramai 46 orang adalah dari Daerah Tutong.