بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Tutong, Ahad, 25 Rabiulawal 1446 bersamaan 29 September 2024–Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pengembangan Da'wah dengan kerjasama Pejabat Unit Da'wah Daerah Tutong mengadakan Majlis Maulidur Rasul dan Tazkirah bersama Muallaf sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi Tahun 1446H / 2024M bertempat di Masjid Kampung Benutan, Daerah Tutong.
Seramai 40 Muallaf sekitar Kampung Benutan dan Kampung Kuala Ungar hadir memeriahkan majlis tersebut.
Hadir sama, Yang Mulia Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidop, Ketua Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah; Yang Mulia Dayang Nurhuwaina binti Mamud, Pemangku Ketua Unit Da'wah Daerah Tutong; Yang Mulia Awang Haji Mohd Hairul Mazlan bin Haji Abd. Razak, Imam Masjid Kampung Benutan selaku Pemangku Ketua Kampung Benutan serta para pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah dan Pejabat Unit Da'wah Daerah Tutong.
Majlis dimulakan dengan Solat Fardhu 'Asar berjemaah. Diikuti laungan Dikir Maulid Diba'i oleh Kumpulan Didi. Majlis diserikan dengan Tazkirah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, Penolong Pensyarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Penguruan Ugama Seri Begawan. Diteruskan dengan acara ramah mesra antara warga Pusat Da'wah Islamiah dengan para Muallaf yang hadir. Majlis diakhiri dengan Solat Fardhu Maghrib berjemaah.
Selain daripada memeriahkan sambutan dan memperingati Maulidur Rasul, majlis sedemikian bertujuan untuk menyampaikan syiar dan pendidikan Islam secara jelas kepada masyarakat khususnya para Muallaf melalui qasidah yang mengandungi syair-syair mengenai Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Di samping itu, untuk mengajak para Muallaf bagi sama-sama menghayati serta menzahirkan rasa cinta kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam dengan memperingati Baginda pada 12 Rabiulawal setiap tahun.