بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Selasa, 27 Rabiulawal 1446 bersamaan 01 Oktober 2024–Dalam usaha memberikan ilmu pengetahuan dan tatacara dengan lebih mendalam secara teori dan praktikal mengenai pengurusan dan penyempuraan jenazah kepada para Muslimah Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah telahpun mengadakan Bengkel Penyempurnaan Jenazah bagi Kelas Bimbingan Muslimah seluruh negara secara berperingkat.
Bengkel dibahagikan kepada beberapa fasa, di mana Fasa Pertama pada tahun 2022 manakala Fasa Kedua dan Ketiga telahpun selesai diadakan pada bulan Mei dan Jun 2023 di masjid-masjid terpilih di seluruh negara dengan melibatkan penyertaan muslimah yang mewakili 22 buah masjid.
Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Sijil bagi Peserta-Peserta Bengkel Penyempurnaan Jenazah Kelas Bimbingan Muslimah Seluruh Negara diadakan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Dayang Fairuz binti Haji Zulkifli, Isteri Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis diungkayahkan oleh Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
Dengan adanya majlis seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi kefahaman dan keyakinan diri para Muslimah Masjid dalam menguruskan jenazah. Bengkel juga adalah untuk menggalakkan penglibatan aktif dan sukarela para Muslimah Masjid dalam hal ehwal kemasyarakatan. Selain itu, untuk menarik minat para Muslimah Masjid agar menubuhkan kumpulan penggapai di masjid masing-masing bertujuan memudahkan orang ramai dan para penduduk kampung terutama yang tinggal di kawasan luar bandar dan pendalaman untuk mendapatkan khidmat penggapai bagi pengurusan dan penyempurnaan jenazah.
Foto: JHEM