بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Gadong, Selasa, 27 Rabiulawal 1446 bersamaan 01 Oktober 2024–Sekolah Ugama Anak-Anak Pasukan Polis Diraja Brunei petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 24 orang murid Darjah VI terdiri daripada 14 orang murid lelaki dan 10 orang murid perempuan yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Majlis diadakan di Dewan Banquet Mes Pegawai Polis, Gadong.
Majlis bertujuan bagi menyahut hasrat Kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, di samping sebagai galakan kepada murid-murid untuk menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai budaya hidup dan amalan harian.
Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesurujaya Polis Negara Brunei Darussalam. Diikuti dengan bacaan Doa Sebelum Membaca Al-Quran oleh Yang Mulia Awang Md Asyraaf Waqiuddin bin Md Arif.
Seterusnya bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam dan disusuli dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan Darjah IV dan V. Manakala Doa Khatam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Md Afe'ef Idraki bin Md Firnasrulilah, salah seorang daripada peserta Khatam.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir dan kemudiannya penyampaian Sijil Khatam oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Pasukan Polis Diraja Brunei.
Foto: JPI