Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN DERMA KACA MATA DARI SYARIKAT PERFECT VISION KEPADA MURID-MURID SEKOLAH UGAMA KAWASAN BRUNEI IV SEMPENA “HARI PENGLIHATAN SEDUNIA 2024”

12 October 2024

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN DERMA KACA MATA DARI SYARIKAT PERFECT VISION KEPADA MURID-MURID SEKOLAH UGAMA KAWASAN BRUNEI IV SEMPENA “HARI PENGLIHATAN SEDUNIA 2024”

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Mulaut, Sabtu, 08 Rabiulakhir 1446 bersamaan 12 Oktober 2024–Seramai 75 orang murid dari Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei IV terdiri daripada kalangan murid-murid yang mengalami masalah penglihatan menerima sumbangan derma kaca mata bersempena memperingati Hari Penglihatan Sedunia yang diadakan pada 13 Oktober setiap tahun. Majlis penyampaian sumbangan tersebut diadakan petang tadi di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan derma ialah Yang Mulia Pengiran Matusin bin Pengiran Anak Haji Abdul Rahman, Lembaga Pengarah Syarikat Perfect Vision Brunei.  Turut hadir, Yang Mulia Dr Faris bin Abdul Rahman, Pengarah Urusan II syarikat berkenaan serta para pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sumbangan derma kaca mata merupakan inisiatif syarikat untuk membantu tahap penglihatan murid-murid berkenan agar mereka mengikuti pembelajaran dengan lebih baik serta meningkatkan kesedaran kepentingan penjagaan mata dan penglihatan dalam kalangan masyarakat.

Sumbangan tersebut merupakan projek amal kali ketiga Syarikat Perfect Vision Brunei bagi murid-murid persekolahan ugama di negara ini.  Terdahulu para penerima telah menjalani pemeriksaan mata secara percuma yang dikendalikan di premis kedai syarikat tersebut pada 01 hingga 03 Oktober lalu.


Foto: JPI