بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Berakas, Isnin, 10 Rabiulakhir 1446 bersamaan 14 Oktober 2024–Seramai 54 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama Bahagian Il ke bawah terdiri daripada 22 orang lelaki dan 32 orang perempuan menyertai Bengkel Kesempurnaan Sembahyang yang diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula hari Isnin, 14 Oktober 2024 hingga hari Rabu, 16 Oktober 2024 di beberapa tempat yang ditetapkan.
Bengkel Kesempurnaan Sembahyang adalah bersempena Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah yang diungkayahkan oleh Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.
Antara tujuan Bengkel diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melaksanakan sembahyang dengan betul walau di mana sahaja berada di samping mempelajari dan menghalusi tatacara berwudhu bagi orang musafir dan tatacara sembahyang ketika bermusafir sesuai dengan tema Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah iaitu "Sembahyang Tiang Ugama".
Atur cara pagi tadi bermula dengan penerangan ringkas mengenai pengisian bengkel dan suai kenal bersama pembengkel pembentangan "Kesempurnaan Wudhu bagi Orang Musafir Secara Teori dan Praktikal". Bengkel diteruskan dengan praktikal wudhu bagi orang musafir dan pembentangan "Tatacara Sembahyang bagi Orang Musafir dari Segi Teori dan Praktikal" di dalam pesawat dan kapal laut.
Fasilitator bagi memudahcara kursus tersebut terdiri daripada empat (4) orang pegawai dari Pusat Da'wah Islamiah iaitu Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, dan Yang Mulia Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin bagi peserta-peserta lelaki. Manakala fasilitator yang memudahcara untuk para peserta wanita ialah Yang Mulia Dayang Hajah Zunainah binti Haji Gunong, dan Yang Mulia Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kashran.






Foto: i-Ready BPAAM