بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kilanas, Sabtu, 23 Rabiulakhir 1446 bersamaan 26 Oktober 2024–Acara Munajat pada malam tadi diadakan secara fizikal dengan tumpuan utama di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas. Majlis dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Kali Ke-157 dengan kerjasama Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Hadir sama di acara Munajat malam tadi ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Ar-Rahman dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohamad Sabiq bin Haji Sulaiman, Alumni Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Graduan Takhassus Al-Quran dan Qiraat, Tahun 2024, Shoubra Al-Azhar, Republik Arab Mesir. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Ayop bin Haji Ghani/Gani, Pemangku Penolong Pengarah (Professional), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara diserikan dengan Tazkirah bertajuk Ujian Dari Allah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit, Timbalan Dekan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Tazkirah antara lain mengingatkan bahawa “Setiap daripada kita pasti akan diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Kerana hidup ini adalah satu perjuangan. Selagi kita belum sampai ke akhirat yang abadi selagi itulah kita terus berusaha melakukan kebaikan dan meningkatkan amal. Allah Subhanahu Wa Ta'ala sudah memberitahu bahawa kita semua pasti akan diuji berdasarkan apa yang kita mampu. Seperti dalam Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam Surah al Baqarah yang bererti Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dan Antara sebab kenapa ujian Allah Subhanahu Wa Ta'ala diturunkan kepada kita adalah kerana menaikkan darjat keimanan, membimbing hati menjadi baik, dan mengampunkan dosa-dosa kita."
Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Adee Aiman bin Haji Muhiddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Juga menyemarakkan, Ahli Jawatankuasa Takmir dan para jemaah yang hadir secara fizikal di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas dan juga secara maya dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadah berjumlah 63 buah dari seluruh negara serta mereka yang mengikuti dari rumah-rumah persendirian.
Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.









Foto: PDI