بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Mulaut, Isnin, 24 Rabiulakhir 1446 bersamaan 28 Oktober 2024–Seramai 10 orang murid persekolahan ugama dari Kawasan Brunei IV menerima sumbangan derma di Program Jalinan Silaturahim yang diungkayahkan oleh Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ketua Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Yang Mulia Dayang Hajah Ernie Yusnani binti Haji Md. Noor pada petang tadi bertempat di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampong Mulaut.
Program Jalinan Silaturahim ini merupakan inisiatif tahunan Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam bagi membantu murid-murid persekolahan ugama yang kurang berkemampuan dengan menghulurkan sumbangan berupa barang-barang keperluan seperti peralatan serta pakaian seragam sekolah dan lain-lain.
Dengan adanya program ini adalah dihasratkan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang dipikul oleh para ibubapa murid berkenaan dan menjadi pemangkin kepada murid-murid untuk lebih bersemangat dalam menuntut ilmu dan seterusnya beroleh kejayaan dalam pembelajaran.