بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Pulaie, Isnin, 24 Rabiulakhir 1446 bersamaan 28 Oktober 2024-Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Penyebaran Da'wah mengendalikan Program Mentoring Da'ie Bersama Yang Mulia Ustazah Asma Harun selama dua (2) hari dari 24 hingga 25 Rabiulakhir 1446 bersamaan 28 hingga 29 Oktober 2024.
Pengisian Program Mentoring Da'ie pada hari pertama sebelah pagi ialah Multaqa Da'ie, bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Seramai 200 orang terdiri daripada para pegawai dan Da'ie Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta pegawai dan Dai'e undangan Pusat Da'wah Islamiah menyertai Multaqa Da'ie tersebut.
Multaqa Da'ie dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Muskrisman Safari bin Haji Awang Mustapa. Diikuti dengan Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Tema program ialah 'Da'wah dan Media Sosial: Peluang dan Cabaran' yang menekankan pentingnya media sosial sebagai platform penyampaian mesej da'wah dalam era digital masa kini. Program memfokuskan kepada cabaran dan peluang yang ada dalam menggunakan media sosial sebagai alat penyebaran da'wah.
Program Mentoring Da'ie ini sebagai platform kepada para Da'ie untuk berinteraksi dengan ulama di samping menimba ilmu dan memperkuat kredibiliti Pegawai Pusat Da'wah Islamiah dalam menyampaikan ceramah. Ianya juga untuk memberi motivasi kepada Da'ie di Negara Brunei Darussalam untuk menghadapi cabaran da'wah masa kini.





Foto: PDI