بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kiarong, Isnin, 25 Rabiulakhir 1446 bersamaan 28 Oktober 2024-Pusat Da'wah Islamiah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Ceramah Khas malam tadi bertempat di Jame' Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat, Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Isteri.
Seramai 2,000 orang terdiri daripada para peserta Bengkel Da'ie, pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Muslimah Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Belia di bawah naungan Urusetia Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan orang awam menghadiri Ceramah Khas tersebut.
Ceramah Khas bertajuk 'Keluarga Bahagia: Tauladan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam', disampaikan oleh Penceramah Khas, Yang Mulia Ustazah Asma Harun, Pendakwah dan Penceramah Bebas dari Malaysia. Pengisian ceramah antara lain menekankan pentingnya mengikuti sunnah dan teladan Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam dalam membina keluarga yang bahagia dan harmoni.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Diteruskan dengan Ceramah Khas dan kemudiannya bacaan Surah al-'Asr dan Tasbih Kaffarah Al-Majlis.
Program diadakan adalah untuk meningkatkan rasa cinta kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dengan menjadikan Baginda sebagai teladan dan ikutan dalam menjalani kehidupan berkeluarga. Di samping itu untuk memberi peluang kepada orang ramai, khususnya Muslimah Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid untuk hadir sama mendengar ceramah dan mengambil pengajaran daripada sirah Baginda Rasulullah. Ianya juga sebagai inspirasi kepada para belia khususnya para belia di bawah naungan Urusetia Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Foto: PDI