بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Mengkubau, Rabu, 26 Rabiulakhir 1446 bersamaan 30 Oktober 2024-Penduduk Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau dan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lapan (8) ekar dengan menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara berjumlah BND$ 4.3 juta.
Sehubungan dengan itu, pagi tadi diadakan Majlis Menyertu Bangunan Masjid Baharu tersebut. Hadir sama pada majlis berkenaan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
Keseluruhan kapasiti Masjid Baharu Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau ini boleh menampung kira-kira 2000 orang jemaah. Antara kemudahan yang disediakan di masjid tersebut termasuk dewan sembahyang utama lelaki, dewan sembahyang perempuan, bilik kuliah, bilik perpustakaan, pejabat pentadbiran, bilik P.A. sistem, tandas dan tempat berwudhu lelaki, tandas dan tempat berwudhu perempuan, tandas Orang Berkeperluan Khas lelaki, tandas Orang Berkeperluan Khas perempuan, bilik pengurusan jenazah, stor dan kelengkapan serta tempat letak kereta.