بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Belait, Sabtu, 29 Rabiulakhir 1446 bersamaan 02 November 2024-Dua orang adik beradik berbangsa Iban melafazkan Dua Kalimah Syahadah di Majlis Pengislaman yang diadakan di Dewan Serbaguna, Pejabat Unit Da'wah Daerah Belait pagi tadi.
Hadir bagi sama-sama menyaksikan Majlis Pengislaman tersebut ialah Yang Mulia Awang Mohd Noorsuffian bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan seterusnya melafazkan Dua Kalimah Syahadah oleh Simpsons Anak Sakah, 24 tahun telah memilih nama Islamnya sebagai Aryan Simpsons bin Sakah. Diikuti oleh adik beliau, Rachel Anak Sakah, 22 tahun dan telah memilih nama Islam beliau sebagai Raeesa Rachel binti Sakah.
Majlis pengislaman disempurnakan oleh Pegawai Pengislaman daripada Pejabat Unit Da'wah, Daerah Belait. Majlis turut diserikan dengan Dikir Asraqal dan penyampaian cenderahati yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Abdul Khaliq bin Kamree, Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Unit Da'wah Daerah Belait.
Statistik Unit Pengislaman Pejabat Unit Da'wah Daerah Belait telah mencatatkan seramai 74 orang telah memeluk agama Islam dari awal tahun 2024 sehingga kini.
Foto: PDI