Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-158

02 November 2024

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-158

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 1 Jamadilawal 1446 bersamaan 2 November 2024–Kelebihan membaca al-Quran berdasarkan hadith Nabi yang maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan. Riwayat al-Tirmizi (2910).

Kemudian tazkirah menekankan tentang kelebihan membaca surah al-Waqiah, sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Mas'ud: yang maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya." (Lihat al-Jamie' al-Soghir, al-Suyuti (12546).

Tazkirah juga menyeru para hadirin untuk mengamalkan surah al-Waqiah untuk mendapatkan rahmat Allah yang maha luas. Dengan adanya rahmat Allah, inshaa Allah, negara dan penduduk rakyat negara ini akan sentiasa dipelihara daripada segala macam wabak dan perkara-perkara yang merbahaya.

Perkara tersebut antara intipati Tazkirah bertajuk “Meraih Rahmat Allah dengan bacaan Surah al-Waqiah" yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof, Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas bagi menyerikan lagi Malam Munajat Kali Ke-158 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Acara Malam Munajat diteruskan lagi malam tadi dengan mengundang Tetamu Khas Yang Mulia Awang Haji Mohd Sujairi bin Haji Dollah, Atase Pelajaran dan Kebudayaan, Pejabat Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir dari Bangunan Darussalam, Kaherah, Republik Arab Mesir.

Turut mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah Pegawai dan kakitangan Pejabat Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir; Pelajar-Pelajar Tahun 1 Ma'had Qiraat Shoubra, Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir; warga Universiti Islam Sultan Sharif Ali; Kumpulan Belia dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Az-Zakireen, Meragang; Ahli Jawatankuasa Takmir dan jemaah dari Masjid Pehin Datu Imam Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer, Masjid Lambak Berakas, Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas serta dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat yang berjumlah 66 buah dari seluruh negara.  Juga, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Azib bin Muhammad Azim, Pelajar Tahun 1, Ma'had Qiraat Shoubra bersama Pelajar-Pelajar Tahun 1 dan Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir dari Bangunan Darussalam, Kaherah, Republik Arab Mesir.

Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad bin Bagol, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Lambak Berakas.

Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Asma ul Husna beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Md Izzat Nashruddin bin Md Kamaruddin, Ketua Belia Masjid Az-Zakireen, Meragang bersama Kumpulan Belia dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Az-Zakireen, Meragang dari Masjid Az-Zakireen, Meragang.

Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Rahmat bin Haji Metarsat, Imam Tingkat IV, Masjid Pehin Datu Imam Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Pehin Datu Imam Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer.

Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.

Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.