بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Pulaie, Ahad, 1 Jamadilawal 1446 bersamaan 3 November 2024-Pusat Da'wah Islamiah Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Muallaf Senegara yang diungkayahkan oleh Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dengan kerjasama Unit Da'wah Daerah-Daerah bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis Perhimpunan Muallaf Senegara merupakan kali ke-2 dilaksanakan dan tahun 2024 ini bersempena dengan Jubli Delima Pusat Da'wah Islamiah 1406H-1446H dengan membawa tema “Sinar Da'wah 40 Tahun Di Negara Zikir".
Seramai lebih kurang 200 orang muallaf dari keempat-empat daerah menghadiri majlis tersebut.
Hadir selaku Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Atur cara Majlis Perhimpunan dimulakan dengan bacaan Selawat At-Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd. Salleh, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Beliau menyatakan antara tujuan program ini diadakan adalah untuk menyebarluaskan da'wah Islam kepada muallaf serta non muslim dan juga sebagai platform meningkatkan motivasi dan menarik minat para muallaf untuk menghadiri majlis ilmu serta memberi ruang dan peluang kepada para muallaf untuk berkongsisama dan bertukar pengalaman. Selain itu, program ini juga sebagai usaha pemedulian Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama terhadap kemaslahatan para muallaf di Negara Brunei Darussalam.
Majlis seterusnya diserikan lagi dengan Ceramah Khas dari Yang Berbahagia Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah bertajuk Cabaran Muallaf Tangani Masalah Kesihatan Mental.
Kemudian, majlis diteruskan dengan Tetamu Kehormat Majlis merasmikan Kad Imbasan “Mudahnya Mendirikan Sembahyang", Bacaan Dalam Sembahyang yang diusahakan oleh Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf), Pusat Da'wah Islamiah. Selepas itu, mengunjungi booth-booth jualan dari Konsortium Muallafprenuers dan pameran pencapaian daripada pameran dari persatuan-persatuan muallaf dari keempat-empat daerah iaitu Persatuan Nurul Islam (Brunei Muara), Persatuan Saudara-Saudara Baru Daerah Tutong, Persatuan Sinar Islam (Daerah Belait) dan Persatuan Saudara-Saudara Baru Daerah Temburong.
Majlis ini diharap dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan ajaran agama Islam di kalangan muallaf; sekali gus meningkatkan kesedaran akan kepentingan mendalami serta menghayati ilmu ajaran-ajaran agama Islam untuk diterapkan dalam kehidupan seharian. Selain itu, dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan muallaf dari keempat-empat daerah dan memperkasa kefahaman muallaf terhadap ajaran-ajaran agama Islam.
Foto: PDI