بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Katok, Rabu, 25 Jamadilawal 1446 bersamaan 27 November 2024–Lebih 170 orang ketua guru ugama serta guru mata pelajaran Pendidikan Islam Tahun 2 bagi sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta di seluruh negara menghadiri sesi Sosialisasi Pelaksanaan Kurikulum Baharu Pendidikan Islam Tahun 2 (2025) yang diadakan selama 2 hari, 26 dan 27 November 2024 di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.
Sesi sosialisasi dimuatkan dengan taklimat yang disampaikan bersama oleh Yang Mulia Awang Haji Abd Rahman bin Haji Abd Manaf, Ketua Unit Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan Yang Mulia Awang Haji Johar bin Haji Jumat, Ketua Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta beberapa orang pegawai daripada Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam.
Taklimat bertujuan untuk mengongsikan maklumat mengenai pelaksanaan kurikulum baharu mata pelajaran Pendidikan Islam Tahun 2 selaras dengan perancangan pelaksanaan pengintegrasian mata pelajaran ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum.
Sesi sosialisasi yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan itu turut dihadiri oleh ketua-ketua kluster dari Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan serta para pegawai kanan dari Jabatan Pengajian Islam.
Foto: JPI