بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Gadong, Rabu, 25 Jamadilawal 1446 bersamaan 27 November 2024–Sebagai tanda penghargaan ke atas perkhidmatan dan jasa baik yang telah dicurahkan oleh para pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya, pagi tadi Kementerian Hal Ehwal Ugama mengendalikan Majlis Hari Apresiasi Kementerian Hal Ehwal Ugama sempena Hari Perkhidmatan Awam Tahun 2024. Majlis diadakan di Songket Ballroom, Tingkat 4, The Rizqun International Hotel, Gadong.
Seramai 104 orang pegawai dan kakitangan yang bersara pada tahun 2023 diraikan pada majlis tersebut atas sumbangan jasa bakti mereka sepanjang berkhidmat untuk Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Turut diraikan pada majlis tersebut ialah para pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang menerima anugerah-anugerah sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam, iaitu Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-31 Tahun 2024; Penerima Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB²PA) Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-31 Tahun 2024; Penerima Anugerah Guru Cemerlang Sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-34, Tahun 2024; Penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) Sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-34, Tahun 2024.
Juga diraiekan dan diberi penghargaan ialah Peserta Bengkel Penyediaan Pelan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2025-2029; Pasukan Futsal Kementerian Hal Ehwal Ugama yang telah Menjuarai Kejohanan Futsal Antara Kementerian-Kementerian Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-31, Tahun 2024 bagi Kategori Terbuka.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Diikuti Ucapan Alu-aluan dan penghargaan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seterusnya, Tetamu Kehormat Majlis berkesudian menyempurnakan penyampaian Sijil Bersara kepada mantan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang diraikan, dan Sijil Penghargaan kepada para penerima Anugerah Sempena Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-31.
Foto: JPI dan BPAAM