بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Khamis, 26 Jamadilawal 1446 bersamaan 28 November 2024–Seramai 75 orang murid Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menerima sijil dalam Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1445H/2023M yang diadakan di Dewan An-Naura Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah petang tadi.
Antara penerima Sijil Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama 1445H/2023M yang diraikan adalah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah binti Pengiran Anak Khairul Khalil, cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis turut meraikan seramai 46 orang murid Darjah 4, 5, dan 6 di sekolah berkenaan yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Akhir Tahun 1446H/2024M.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis, Yang Mulia Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa, diikuti persembahan Tausyeh. Seterusnya Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Azmerul bin Haji Haris, Guru Besar Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Majlis. Acara diteruskan dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada para penerima.
Majlis bertujuan bagi meraikan dan menghargai kejayaan murid-murid dalam Peperiksaan SSSRU yang lalu di samping sebagai dorongan dan motivasi untuk murid-murid agar terus mencapai kejayaan di masa akan datang.
Foto: JPI