بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Pulaie, 27 Jamadilawal 1446 bersamaan 29 November 2024-Pusat Da'wah Islamiah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Kelas Bimbingan Muallaf Pusat Da'wah Islamiah Kali Ke-2 bagi Tahun 1445-1446H/2023-2024M pagi tadi bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah. Majlis dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dengan kerjasama Unit Da'wah Daerah Tutong, Unit Da'wah Daerah Belait dan Unit Da'wah Daerah Temburong.
Seramai 185 orang Muallaf dari keempat-empat daerah yang mengikuti Kelas Bimbingan Muallaf dan berjaya menamatkan Kelas Bimbingan Muallaf 2 iaitu Kelas Iqra', dan Kelas Bimbingan Muallaf 3 iaitu Kelas Al-Quran, dan tujuh (7) orang Tenaga Pengajar Kelas tersebut yang mengajar lebih sepuluh (10) tahun telah menerima sijil masing-masing pada majlis berkenaan pagi tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin. Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diserikan dengan Majlis Khatam Al-Quran oleh peserta Kelas Bimbingan Muallaf 3 di seluruh daerah dan diikuti persembahan Nasyid dari Kelas Bimbingan Muallaf Kampung Batang Mitus, Daerah Tutong. Kemudiannya, penyampaian sijil dan cenderahati penghargaan disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Majlis Penyampaian Sijil Kelas Bimbingan Muallaf adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada para Muallaf yang berjaya mengikuti Kelas Iqra' dan Kelas Al-Quran. Majlis juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara para peserta Muallaf dari keempat-empat daerah.
Dengan adanya Kelas Bimbingan Muallaf secara berterusan ini dihasrat akan dapat menggalakkan Muallaf untuk lebih giat mempelajari serta menghayati bacaan Al-Quran, seterusnya melahirkan para Muallaf yang celik Al-Quran dan berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran.
Foto: PDI