بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 29 Jamadilawal 1446 bersamaan 30 November 2024–Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-162, Khas untuk Wanita Ke-19 pada malam tadi mengundang Yang Mulia Dayang Norliha binti Haji Awang Besar, Yang DiPertua Persatuan Gerakan Ibu Tunggal yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Diikuti bacaan Surah Ar-Rahman beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Juhaida binti Haji Tahamit, Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong dari Dewan Fathul Busyra Sekolah Ugama Beribi. Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Norain binti Haji Awang Othman, Pegawai Pelajaran Ugama, Pusat Bahasa, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Diserikan dengan Tazkirah bertajuk 'Menghargai Masa Bersama Keluarga' disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Rossne binti Abdul Rahman, Pegawai Perkembangan Ugama dari Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Antara perkara di dalam Tazkirah tersebut menyentuh mengenai “Keluarga merupakan anugerah yang sangat berharga. Dalam Islam, menghargai masa bersama keluarga dilihat sebagai ibadah kerana kita beroleh pahala dengan menghormati dan berbuat baik kepada keluarga. Ini kerana, kewajipan menjaga akidah dan amal soleh bukan hanya bagi diri sendiri tetapi juga untuk anggota keluarga terutama anak-anak agar sentiasa berada di jalan yang benar."
Selesai Tazkirah, bacaan Selawat Syifa beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Lelyta binti Md Jenin, Sekolah Ugama Kampung Mata-Mata, Jabatan Pengajian Islam dari Dewan Fathul Busyra Sekolah Ugama Beribi. Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin, Pegawai Pelajaran dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut sama mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah Ahli-Ahli Persatuan Gerakan Ibu Tunggal; Ahli Jawatankuasa Takmir dan jemaah wanita dari beberapa buah masjid. Juga, warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.
Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.
Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheuwanita.