بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Junjongan, Jumaat, 04 Jamadilakhir 1446 bersamaan 06 Disember 2024-Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Masjid Baharu Kampong Junjongan bagi menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat yang pertama di masjid tersebut.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Berangkat sama ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudiannya dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama bagi menandatangi “Plaque" dan diiringi dengan laungan Takbir “Allahu Akbar" sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama sebagai petanda perasmian pembukaan masjid baharu tersebut dan dikenali sebagai Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan.
Khutbah Jumaat disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, Pemangku Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Sementara Sembahyang Fardhu Jumaat diimamkan oleh Yang Mulia Awang Haji Hayrul bin Haji Hakim, Pegawai Masjid, Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan.
Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lebih kurang tiga (3) ekar dan pembinaan masjid baharu ini dimulakan dengan mendirikan tiangnya pada 18 Jun 2022. Masjid tersebut merupakan masjid ketiga menggunakan peruntukan perbelanjaan dari Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dengan jumlah BND$5.2 juta.
Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan mempunyai kapasiti untuk menampung lebih kurang 1,600 orang jemaah. Pelbagai kemudahan disediakan untuk memastikan keselesaan semua pengunjung seperti tandas dan tempat berwudhu termasuk tandas dan tempat berwudhu untuk Orang Kelainan Upaya. Selain itu, masjid ini dilengkapi dengan bilik serbaguna, bilik pengurusan jenazah, dan tempat letak kereta termasuk tempat letak kereta khusus untuk Orang Kelainan Upaya.
Dengan pembukaan Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan ini dapat memberi keselesaan kepada penduduk kampong dan jemaah yang menunaikan sembahyang fardhu lima waktu dan sembahyang Fardhu Jumaat. Ianya juga dihasrat untuk digunakan oleh para penduduk untuk melakukan kegiatan serta aktiviti keagamaan bagi meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam di kampong tersebut dan di negara ini amnya.
Foto: PDI