بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Tutong, Jumaat, 04 Jamadilakhir 1446 bersamaan 06 Disember 2024-Seorang lelaki Iban, Awang Gending anak Siba, berumur 71 tahun, melafazkan Dua Kalimah Syahadah di Majlis Pengislaman petang tadi yang berlangsung di rumahnya di Kampung Penabai, Kuala Tutong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong.
Turut hadir, ialah Yang Mulia Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad, Pemangku Pegawai Daerah Tutong dan Yang Mulia Muhammad Sofiyuddin bin Md Serudin, Ketua Kampung Penabai dan Kuala Tutong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Awang Gending anak Siba yang memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Gending bin Muhammad Shah.
Majlis diserikan dengan Dikir Marhaban serta menabur bunga rampai dan diikuti penyampaian cenderahati daripada Pusat Da'wah Islamiah kepada saudara baharu yang diraikan disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Mengikut statistik keramaian mereka yang memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam sejak Januari 2024 hingga November 2024 adalah seramai 294 orang. 60 orang daripadanya adalah dari Daerah Tutong.
Foto: PDI