Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENYAMPAIAN WAKAF BUKU ”MASJID-MASJID BRUNEI DARUSSALAM”

07 December 2024

MAJLIS PENYAMPAIAN WAKAF BUKU ”MASJID-MASJID BRUNEI DARUSSALAM”

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Berakas, Sabtu, 05 Jamadilakhir 1446 bersamaan 07 Disember 2024 -Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama menerima wakaf buku "Masjid-Masjid Brunei Darussalam" yang disampaikan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Borneo Corporation, Yang Mulia Dr. Haji Nasir Latif.

Majlis Penyampaian Wakaf Buku tersebut diadakan petang tadi di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien.  Diikuti dengan ucapan daripada wakil Syarikat Borneo Corporation. 

Seterusnya penyampaian wakaf buku "Masjid-Masjid Brunei Darussalam" oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan seterusnya Yang Berhomat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sumbangan wakaf tersebut kepada Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid.

Sumbangan wakaf buku tersebut adalah bersifat amal jariah syarikat tersebut dan diharap setiap masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara akan memilikinya serta para jemaah masjid akan dapat manfaat darinya.

Buku berkenaan mengandungi banyak rujukan sejarah yang diketengahkan termasuk daripada kitab suci Al-Quran; hadis Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam; mengenai masjid dalam sejarah Islam dan sejarah masjid-masjid utama di Negara Brunei Darussalam; serta tentang adab memasuki sesebuah masjid.  Di samping itu, buku berkenaan juga mengongsikan tentang pengalaman pengarangnya melalui lawatan-lawatan peribadi beliau ke masjid-masjid di luar negara.

Penerbitan buku "Masjid-Masjid Brunei Darussalam" adalah diharapkan sebagai sumber pengetahuan dan rujukan kepada orang ramai selain menjadi sumbangan ke arah pembangunan masjid-masjid Negara Brunei Darussalam di masa depan.

Pengarang buku "Masjid-Masjid Brunei Darussalam" iaitu Yang Mulia Dato Paduka Dr. Haji Abdul Latif bin Haji Ibrahim merupakan bekas Pengarah Balai Kenangan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien. Beliau berkelulusan PhD dalam pengajian Antropologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Sarjana Falsafah dalam Antropologi dari Cambridge University, United Kingdom.


Foto; intern BPAAM