Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-163

07 December 2024

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-163

بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 06 Jamadilakhir 1446 bersamaan 07 Disember 2024–“Setiap orang yang pergi ke masjid pada awal atau akhir hari untuk menunaikan sembahyang atau menuntut ilmu atau untuk maksud yang baik, maka Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan menyediakan tempat baginya di Syurga sebagai penghormatan dan kemuliaan bagi mereka yang menghadirkan diri ke masjid.  Orang yang pergi ke masjid akan mendapat pahala yang besar sehingga dijanjikan Syurga Allah Subhanahu Wa Ta'ala.  Ini merupakan kurnia Allah Subhanahu Wa Ta'ala untuk hamba-Nya, hanya dengan menunaikan amal yang sederhana ini akan mendapat pahala yang istimewa dan luar biasa."

Perkara tersebut antara yang terkandung di dalam Tazkirah bertajuk “Syurga bagi Pengunjung Masjid" yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Khairul Azhar bin Haji Idris, Ketua Unit Pengurusan Strategik dan Jaminan Kualiti, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dari Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan bagi menyerikan lagi Malam Munajat Kali Ke-163 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Acara Munajat diteruskan malam tadi dengan mengundang Tetamu Khas, Yang Mulia Awang Haji Arfan bin Haji Mohd Yusof, Penghulu Mukim Pengkalan Batu yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan.

Turut mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah serta Ahli Kumpulan Belia Masjid Syababussalam, Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan;  Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah dari Masjid Kampong Limau Manis; Masjid Kampong Pengkalan Batu serta masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara yang berjumlah 55 buah.  Juga, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Asdey Hazabullah bin Haji Mohd Zain, Imam Tingkat II, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampong Limau Manis.   Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Abd Aziz bin Haji Ghani, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan.

Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Ahli Kumpulan Belia Masjid Syababussalam, Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan dari Masjid As-Salaam, Kampong Junjongan.   Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Saiful Khairul Hakimin bin Pengiran Liudin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampong Pengkalan Batu.

Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.

Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.