Berakas, Selasa, 07 Rejab 1446 bersamaan 07 Januari 2025–Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS bagi menyemarakkan lagi Hari-Hari Kebesaran Islam dan antara pengisian dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan pada setiap tahun.
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan pada tahun ini, diadakan selama tiga [3] hari, bermula hari Selasa, 7 Januari hingga hari Khamis, 9 Januari 2025 bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Pagi tadi, seramai 12 orang peserta bagi Kategori 'B' dan 12 orang peserta bagi Kategori 'C' memperdengarkan hafazan masing-masing di Hari Pertama Musabaqah.
Pada tahun ini sahaja, seramai 60 orang bertanding di Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan mengikut kategori masing-masing, iaitu:
KATEGORI | LELAKI | PEREMPUAN | JUMLAH |
A | 5 | 7 | 12 |
B | 5 | 7 | 12 |
C | 6 | 6 | 12 |
D | 3 | 9 | 12 |
E | 10 | 2 | 12 |
JUMLAH | 29 | 31 | 60 |
Dan, seperti tahun-tahun yang sudah, Musabaqah ini dibahagikan kepada 5 kategori [Kategori A, B, C, D dan E].
Kategori 'A' – Menghafaz 1 Juz Al-Quran iaitu Juz 30 berserta Pemahaman Juz 30. Terbuka kepada peserta yang lahir pada tahun 2012 dan selepasnya (13 tahun ke bawah); Johan dalam Kategori 'A' dua (2) kali berturut-turut hanya boleh menyertai Musabaqah ini selepas dua (2) tahun (dari tahun Kedua) menjadi johan itu, dan bukan terdiri dari penuntut sepenuh masa Institusi Pengajian Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negara semasa mendaftar atau menghantar permohonan, dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori 'B', 'C', 'D' dan 'E.
Kategori 'B' – Menghafaz surah-surah pilihan iaitu Surah Luqmaan; Surah As-Sajdah; Surah Yasin; Surah Ad-Dukhan, Surah Ar-Rahmaan; Surah Al- Waqi'ah; Surah Al-Jumu'ah; Surah Al-Mulk; Surah Al-Jinn; Surah Al-Insan berserta Pemahaman Surah Al-Qasas dan Surah Al-'Ankabut. Terbuka kepada peserta yang lahir pada tahun 2011 dan sebelumnya (14 tahun ke atas), dan bukan penerima elaun Ujian Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam semua kategori Tasmie' semasa tarikh tutup borang penyertaan; Johan dalam kategori 'B' dua (2) kali berturut-turut hanya boleh menyertai Musabaqah ini selepas dua (2) tahun (dari Tahun Kedua) menjadi johan itu, dan bukan terdiri dari penuntut sepenuh masa Institusi Pengajian Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negara semasa mendaftar atau menghantar permohonan, serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori 'C,' 'D' dan 'E'.
Kategori 'C' – Menghafaz 3 Juz Al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah dan Surah Ali-'Imraan berserta Pemahaman Surah Yusuf, Surah Ar-Ra'd dan Surah Ibrahim. Terbuka kepada semua peringkat umur, dan bukan penerima elaun Ujian Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam semua kategori Tasmie' semasa tarikh tutup borang penyertaan; Johan dalam kategori 'C' 2 kali berturut-turut hanya boleh menyertai Musabaqah ini selepas dua (2) tahun (dari tahun Kedua) menjadi johan itu, dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori 'D' dan 'E'.
Kategori 'D' – Menghafaz 15 Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 15 berserta Pemahaman Surah As-Saffat; Surah Sad dan Surah Az-Zumar. Terbuka kepada semua peringkat umur, dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam kategori 30 juz; Johan dalam kategori 'D' dua (2) kali berturut-turut hanya boleh menyertai Musabaqah ini selepas dua 2 tahun (dari tahun Kedua) menjadi johan itu, dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori 'E'.
Kategori 'E' – Menghafaz 30 Juz Al-Quran iaitu daripada Juz 1 hingga Juz 30 berserta Pemahaman Surah Ali-Imran dan Surah An-Nisa. Terbuka kepada semua peringkat umur dan Johan dalam kategori 'E' dua (2) kali berturut-turut hanya boleh menyertai Musabaqah ini selepas dua (2) tahun (dari tahun Kedua) menjadi johan itu.
Foto: PDI