Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP MUZAKARAH HAJI KALI KE-32 BAGI TAHUN 1446H/2025M

08 January 2025

MAJLIS PENUTUP MUZAKARAH HAJI KALI KE-32 BAGI TAHUN 1446H/2025M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​​

Berakas, Rabu, 08 Rejab 1446 bersamaan 08 Januari 2025–Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Bimbingan Haji dan Umrah petang tadi mengadakan Majlis Penutup Muzakarah Haji Kali Ke-32 bagi Tahun 1446H/2025M bertempat di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang kemudiannya menyampaikan ucapan serta sijil-sijil kepada para peserta Muzakarah Haji Kali Ke-32 bagi Tahun 1446H/2025M.

Hadir sama, Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Satu pembentangan Kertas Kerja Perdana bertajuk "Haji Fardhu vs Haji Mabrur"  dibentangkan oleh Yang Mulia Awang Haji Md Syahiran bin Haji Md Sofian, Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).  Sesi ini diteruskan dengan pembentangan Resolusi Muzakarah yang merumuskan cadangan dan tindakan lanjut hasil muzakarah tersebut disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Haji Ali, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji.

Terdahulu pada sesi sebelah pagi, seramai 136 peserta telah menghadiri majlis Muzakarah Haji Kali Ke-32 terdiri daripada Guru-Guru Pengkursus Ibadat Haji dan Umrah, Guru-Guru Sekolah yang mengajar Bab Haji dan Umrah di bawah Jabatan Pengajian Islam, Tenaga Pembimbing Saudara Baru (Muallaf) dan Da'ie-Da'ie Pusat Da'wah Islamiah, para pegawai dan Imam-Imam Jabatan Hal Ehwal Masjid, serta Pembimbing-Pembimbing Ugama dari Syarikat Pengendali Perkhidmatan Pakej Haji dan Umrah, termasuk Agensi Pelancongan yang menawarkan Pakej Umrah menggunakan Visa Pelancong Arab Saudi.  Pada sesi tersebut juga diadakan pembentangan kertas-kertas kerja oleh beberapa pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri yang mengupas isu-isu hukum hakam berkaitan Manasik Haji secara terperinci.

Muzakarah antara lain bertujuan mempersiapkan para peserta dengan pemahaman yang mendalam mengenai falsafah dan penghayatan ibadah Haji, selain memperjelaskan isu-isu hukum yang timbul semasa pelaksanaan Manasik Haji dan Umrah pada Musim Haji 1445H / 2024M yang lalu.  Muzakarah turut memberikan gambaran terkini mengenai keadaan di Tanah Suci termasuk kemudahan di 'Arafah dan Mina, ekspektasi bakal Jemaah serta dasar dan peraturan terkini yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.  Di samping itu, muzakarah ini bertujuan memperkukuh dan memperluaskan ilmu berkaitan Manasik Haji serta menjelaskan pengurusan Haji Negara Brunei Darussalam dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan.

 

Foto: PP BPAAM