بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Berakas, Khamis, 09 Rejab 1446 bersamaan 09 Januari 2025–Seramai 25 orang peserta daripada 60 orang peserta iaitu 5 orang peserta dari setiap kategori telah terpilih memasuki Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah yang akan diadakan pada awal bulan Februari 2025 nanti.
Perkara tersebut telah diumumkan petang tadi oleh Setiausaha Bersama Jemaah Hakim Musabaqah, Yang Mulia Pengiran Haji Khairul Ikhwan bin Pengiran Haji Alit. di Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah yang diadakan petang tadi bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah berlangsung selama tiga [3] hari berturut-turut bermula pada hari Selasa, 7 Januari 2025 hingga hari Khamis, 9 Januari 2025 bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Majlis petang tadi dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Manan bin Haji Osman, Imam Tingkat 1, Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong. Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, Pemangku Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah.
Acara diteruskan dengan Pengumuman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah oleh Pengerusi Jemaah Hakim. Diikuti dengan penyampaian cenderamata dan sijil kepada para peserta Musabaqah dan hakim-hakim Musabaqah oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Terdahulu, Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah telahpun selesai menampilkan 12 orang peserta terakhir bagi Kategori 'A' pagi tadi.
Antara objektif Musabaqah ini diadakan adalah untuk mengalakkan umat Islam di negara ini agar berjinak-jinak mencintai Al-Quran melalui hafazan dan menjadikannya sebagai amalan harian. Ianya juga bertujuan untuk menambahkan lagi para huffaz di negara ini, di samping mendapatkan pahala dan ganjaran dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan mendorong serta membantu para peserta dan orang ramai untuk memahami maksud yang terkandung dalam Al-Quran antaranya, fakta-fakta surah, nasihat, pengajaran dan hukum-hukum tajwid.
Foto: PDI