Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ PERINGKAT NEGARA TAHUN 1446 HIJRAH

27 January 2025

MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ PERINGKAT NEGARA TAHUN 1446 HIJRAH

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​​

Berakas, Isnin, 27 Rejab 1446 bersamaan 27 Januari 2025– Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah. Majlis berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis tersebut dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah;  Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah;  Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd selaku Pengendali Bersama;  dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan selaku Pengendali Bersama.

Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Setiausaha-Setiausaha Tetap; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah.

Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an yang dipersembahkan oleh Yang Mulia Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abd Rajid, Johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1445H/2024M Peringkat Akhir.

Diikuti dengan Tadabbur Al-Qur'an yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Diteruskan dengan Sembah Alu-aluan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam ucapan sembah alu-aluan menyembahkan bahawa pengajaran yang terpenting dalam peristiwa Israk dan Mikraj ialah mengenai sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan kepada kita umat Islam di semua zaman dan keadaan.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama  menambah “Dengan itu diharapkan akan menjadi sebahagian suntikan dalam memperteguh penghayatan berugama yang sedia dipelajari di sekolah-sekolah difahami dan dikaji di peringkat pengajian tinggi, didakwahkan secara meluas. Maka insyaa Allah semua itu, dengan berkat kepimpinan bijaksana, berwawasan serta berwibawa Kebawah Duli Tuan Patik akan selayaknya menjadikan setiap individu muslim bahkan kita senegara yakin bahawa ajaran dan fahaman berugama yang ditanamkan melalui pendidikan formal dan non formal, yang seterusnya disemarakkan dengan dakwah berterusan secara meluas, telah dan akan sentiasa membekalkan generasi kita sekarang dan generasi yang akan datang menjadi individu muslim, yang teguh berfahaman dan berpegangan ugama yang betul. Dengan sedemikian itu yakin dan percaya terhadap diri sendiri, dapat menghadapi semua suasana dan keadaan dengan mencapai kejayaan hidup yang baik seimbang dunia dan akhirat. 
Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'zzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Titah.

Majlis diserikan dengan pesembahan Selawat Tafrijiyyah dan Ibrahimiyyah yang dipersembahkan oleh gabungan pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan dan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sendirian Berhad.

Kemudian diikuti dengan Ceramah Khas bertajuk “Sembahyang Mencerdaskan Minda" disampaikan oleh Yang Mulia Prof. Ustaz Dr H. Abdul Somad, Penceramah Khas dari Republik Indonesia.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Tema Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah ialah" Sembahyang Mencerdaskan Minda" dan dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, dan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd.

 

Foto: Perantis dan intern (UBD) BPAAM