بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, telah mengeluarkan keputusan peperiksaan-peperiksaan Pra-Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (Pra-STPUB) dan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) tahun 1445H / 2024M (bagi calon-calon Pra-U1 dan Pra-U2) di Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan Institut Tahfiz al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
1) Keterangan Pencapaian:
- Peperiksaan Pra-Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (Pra-STPUB)
Daripada seramai 265 orang calon (pelajar Pra-U1) yang menduduki peperiksaan
Pra-Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei, seramai 261 calon (98.49%) telah memperoleh sekurang-kurangnya satu (1) pangkat Jayyid / Kepujian dan daripada jumlah tersebut, 181 calon (68.30%) telah berjaya memperoleh sekurang-kurangnya pangkat Jayyid / Kepujian dalam semua mata pelajaran yang diduduki. - Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB)
Seramai 384 orang calon telah menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei dan daripada jumlah tersebut, seramai 377 orang calon (98.18%) telah lulus. Daripada jumlah lulus berkenaan, seramai 202 calon (52.60%) memperoleh pangkat Mumtaz / Cemerlang.
2) Pihak sekolah yang berkenaan bolehlah mengambil keputusan calon bagi sekolah masing-masing pada hari Khamis, 30 Rejab 1446H bersamaan dengan 30 Januari 2025M di Pejabat Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam bermula pukul 9:30 pagi.
3) Sehubungan dengan ini, calon-calon yang menduduki peperiksaan-peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing. Manakala bagi calon persendirian hendaklah mengambil slip pernyataan keputusan di Pejabat Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, bertempat di tingkat bawah bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama pada waktu pejabat.
4) Bagi calon-calon peperiksaan, ibu bapa / penjaga yang ingin mendaftar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), bolehlah berbuat demikian melalui perkhidmatan SMS dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN (jarak) NOMBOR INDEKS CALON (jarak) NOMBOR KAD PENGENALAN PINTAR dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST, 38666 bagi pelanggan Progresif Sdn. Bhd. atau 39966 bagi pelanggan Imagine Sdn. Bhd. Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS tanpa sebarang kos kepada pelanggan.
5) Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar dengan dikenakan caj bayaran B$1.00 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima. Sehubungan dengan itu, dipohonkan kepada para pelanggan agar dapat memastikan talian masing-masing mempunyai kredit yang mencukupi.