بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 03 Syaaban 1446 bersamaan 01 Februari 2025–“Syurga Allah Subhanahu Wa Ta'ala itu dipagari dengan pelbagai jenis kesusahan. Di saat kita merasa kesusahan, maka ketahuilah bahawa di dalam kesusahan itu terdapat jalan untuk menuju ke Syurga Allah. Dan ketahuilah bahawa neraka itu dipagari dengan godaan dan hawa nafsu. Di saat kita sentiasa senang untuk meninggalkan Solat maka ini adalah godaan hawa nafsu. Sesungguhnya tanggungjawab wanita Muslimah diuji dengan pelbagai cabaran. Di saat kita merasakan Solat semakin berat, ketahuilah godaan syaitan itu semakin kuat. Seri Solat tidak lagi terlihat. Sedangkan Wudhu dan Solat merupakan cahaya dan seri yang terpancar di setiap individu apabila ia suka dan ingin untuk menunaikan Solat. Maka Jadilah wanita yang dikenali Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, di sebalik ribuan umat menanti, Telaga Haudh akan menjadi saksi, seri Wudhu wanita terpancar abadi."
Perkara tersebut antara yang disentuh di dalam Tazkirah bertajuk “Seri Dunia: Jurang Wanita Ke Syurga" disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Dr. Widad binti Haji Abdul Aziz, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali bagi menyerikan lagi Malam Munajat Kali Ke-171 Khas untuk Wanita Ke-21 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nurul Azimah binti Haji Abdul Hamid, Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dari Surau Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hayatul Ain Nabillah binti Amir Hussin, Penolong Ketua Exco Keugamaan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Siti Khalijah binti Haji Bakar, Timbalan Pendakwa Syar'ie, Bahagian Pendakwaan Syar'ie, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Selesai Tazkirah, diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nur Hazimah binti Haji Marali Penolong Pensyarah (SkiPPA) Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dari Surau Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Noorhazlina binti Mohiddin, Pegawai Ugama (SkiPPA) Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Surau Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Acara Munajat malam tadi disemarakkan oleh tenaga akademik dan para pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali dari Surau Utama Kolej berkenaan dan juga Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah wanita dari beberapa buah masjid. Ikut serta secara maya ialah warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya. Turut menyerikan, Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan berzikir dan berselawat, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai semoga Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terhindar dari segala malapetaka dan penyakit merbahaya.
Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheuwanita.