بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Gadong, Isnin, 05 Syaaban 1446 bersamaan 03 Februari 2025-Sebanyak tujuh (7) buah buku terbitan baharu Pusat Da'wah Islamiah dilancarkan pada majlis Malam Sastera Islam Sempena Sambutan Jubli Delima Pusat Da'wah Islamiah 1406-1446H yang diadakan malam tadi bertempat di Songket Ballroom, The Rizqun International Hotel, Gadong.
Buku-buku tersebut ialah [1] “Menjana Negara Sejahtera"; [2] “Tokoh Ugama Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin"; [3] “Antologi Cerpen Taubat dan Istighfar"; [4] “Himpunan Ayat-ayat Al-Qur'an dan Hadits Mengenai Rahmat Allah Kepada Hamba-Nya"; [5] “Himpunan Ayat-ayat Al-Qur'an dan Hadits Mengenai Perjalanan Hidup Manusia"; [6] “Himpunan Ayat-ayat Al-Qur'an dan Hadits Mengenai Kezaliman"; dan [7] “Himpunan Do'a daripada Ayat-ayat Al-Qur'an, Hadits dan Para 'Ulama".
Antara objektif Malam Sastera Islam diadakan adalah bagi memeriahkan lagi Sambutan Jubli Delima Pusat Da'wah Islamiah 1406-1446 Hijrah dengan pengisian acara yang berkonsep Sastera Islam iaitu Sastera Islam sebagai sarana da'wah kesenian Islam; dan memberigakan buku-buku terbitan baharu Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis Malam Sastera Islam dikendalikan oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Kajian dan Penerbitan dan merupakan salah satu rancangan tahunan diadakan setiap dua (2) tahun sekali.
Terdahulu, Pusat Da'wah Islamiah telah menganjurkan Peraduan Penulisan Seni Kreatif dan Non-Kreatif Berunsur Islam Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam tahun 1446H/2024M yang telah dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap di negara ini pada bulan Oktober hingga Disember tahun lalu. Pusat Da'wah Islamiah telah menerima sebanyak 73 penyertaan bagi Peraduan Penulisan Seni Kreatif iaitu 29 penyertaan bagi Kategori Sajak, dan 28 penyertaan bagi Kategori Cerpen. Manakala bagi Penulisan Seni Non Kreatif pula adalah sebanyak 16 penyertaan bagi Kategori Rencana.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya berkesudian untuk menyempurnakan pelancaran buku-buku terbitan baharu Pusat Da'wah Islamiah ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, dan Datin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Yang Mulia Awang Muhammad Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Seterusnya, Ucapan Alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah. Seterusnya, pelancaran 7 buah buku terbitan baharu Pusat Da'wah Islamiah.
Sejurus itu, diikuti dengan penyampaian cenderahati dan sijil kepada para penulis buku-buku terbitan baharu Pusat Da'wah Islamiah yang baru dilancarkan, dan jemaah Hakim Peraduan Penulisan Seni Kreatif dan Non-Kreatif Berunsur Islam Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam 1446H/2024M.
Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada pemenang bagi Peraduan Penulisan Seni Kreatif dan Non-Kreatif Berunsur Islam Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam 1446H/2024M; pemenang Pertandingan Mereka Cipta e-Poster Sempena Jubli Delima Pusat Da'wah Islamiah 1406-1446H, dan pemenang Kuiz Sempena Jubli Delima Pusat Da'wah Islamiah 1406-1446H anjuran Bahagian Media ( Multimedia Da'wah ).
Majlis disemarakkan dengan persembahan Deklamasi Sajak oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama. Diikuti oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, dan kemudiannya oleh Yang Mulia Professor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Penerima Anugerah SEAWrite (Southeast Asia Write Award).
Majlis diakhiri dengan persembahan Pementasan Syairdra Gemilang Da'wah hasil karya dan lakonan daripada Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah.
Buku-buku terbitan baharu Pusat Da'wah Islamiah akan dijual dengan promosi potongan sebanyak 20% (peratus) bagi pembelian setiap sebuah buku bermula 3 Februari 2025 hingga 3 Mac 2025. Orang ramai yang berhasrat untuk membeli buku-buku berkenaan bolehlah mendapatkannya di Kedai Buku, Bahagian Kajian dan Penerbitan (Pemasaran), Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie, pada setiap hari bekerja, iaitu hari Isnin hingga Khamis, bermula pada pukul 8:00 pagi hingga 11:30 pagi, dan pukul 2:00 petang hingga 3:00 petang, dan hari Sabtu, bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 10:00 pagi.















Foto: PDI