بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, 07 Ramadan 1446 bersamaan 08 Mac 2025–“Allah Subhanahu Wa Ta'ala mewajibkan kepada seluruh orang Islam melaksanakan Ibadah Puasa, bukan sahaja untuk menahan lapar dan dahaga, tapi di bulan yang penuh berkah, diberi ganjaran di samping dapat mensucikan jiwa dan menahan nafsu syahwat. Allah Subhanahu Wa Ta'ala juga memberi keringanan kepada mereka yang mengalami kepayahan dalam menunaikan Ibadah Puasa seperti sakit dan musafir. Dan turunnya Al-Quran di bulan Ramadan menunjukkan istimewanya bulan Ramadan dari bulan-bulan lain, dan merupakan waktu terbaik melipatgandakan amalan dengan ganjaran yang berlipat ganda kepada para pembaca ayat-ayat suci Al-Quran."
Demikianlah antara huraian intisari dan pengajaran Ayat daripada Tadabbur Al-Quran, Surah Al-Baqarah, Ayat 183 hingga Ayat 185 yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Jalalluddin bin Junaidi, Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Da'wah, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam dari Masjid Ash Shaliheen bagi menyerikan Munajat Ramadan di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Acara Munajat petang tadi anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-176 dengan kerjasama Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam bersempena Sambutan Hari Al-Azhar Al-Syarif Sedunia 1446H dan diadakan secara maya.
Munajat Ramadan pada petang tadi mengundang Tetamu Khas, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, Ra'es Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Ash Shaliheen.
Turut menyemarakkan Munajat Ramadan pada petang tadi ialah ahli-ahli Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam; tenaga akademik dan para penuntut Brunei Darussalam dari Republik Arab Mesir. Juga, Ahli Jawatankuasa Takmir dan jemaah dari beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di negara ini serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya dan juga individu yang turut serta secara maya.
Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan bacaan Surah Ar-Rahman beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Faaiz bin Fisol, Pelajar Tahun 1, Ma'had Qiraat Shoubra, Republik Arab Mesir dari Surau Darussalam, Republik Arab Mesir. Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Naib Ra'es I, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussaalam dari Masjid Ash Saliheen.
Selepas Tadabbur Al-Quran, diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Nasyaruddin bin Haji Abdul Rahim, Ketua Unit Agama dan Akhlak, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir Sesi 2024/2025 dari Surau Darussalam, Republik Arab Mesir.
Diikuti Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Latif bin Haji Zaini, Imam Tingkat I, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Tanjong Maya, Tutong.
Munajat Ramadan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan ibadah di bulan Ramadan ini dan meminta keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya. Semoga dengan amalan ibadah yang dikerjakan di bulan Ramadan ini, kehidupan kita dan Negara Brunei Darussalam diberkati.
Orang ramai dialu-alukan menyertai bersama Munajat Ramadan pada hari Sabtu bermula 1.00 petang di sepanjang bulan Ramadan ini melalui aplikasi Microsoft Teams di pautan http://tiny.cc/munajatkheu.
