Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM IFTAR MAHABBAH 1446H/2025M

08 March 2025

PROGRAM IFTAR MAHABBAH 1446H/2025M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​​

Kiarong, Sabtu, 07 Ramadan 1446 bersamaan 08 Mac 2025–Bagi menunjukkan kepada masyarakat non-muslim bahawa agama Islam adalah agama yang mementingkan hubungan silaturahim dan berbuat baik dengan non-muslim walaupun berbeza agama dan bangsa serta untuk menyampaikan maklumat yang tepat mengenai agama Islam dan membetulkan kesalahfahaman tentang agama Islam, Belia Muallaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia (PKB), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengungkayahkan Program Iftar Mahabbah 1446H/2025M bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Program Iftar Mahabbah ini merupakan kesinambungan daripada kertas kerja 'Bengkel Kesedaran Melalui Lawatan Masjid' yang diungkayahkan bersama Urus Setia Program Keugamaan Belia dan Bahagian Pengembangan Da'wah (Da'wah Khas), Pusat Da'wah Islamiah.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.  Hadir sama, Yang Mulia Dr. Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman, Presiden Persatuan Persahabatan Brunei-China.

Program juga bertujuan untuk memberi peluang kepada non-muslim melihat masjid secara dekat dan mengetahui ibadah yang dilakukan oleh orang Islam seperti berwudhu' dan sembahyang serta menanyakan sebarang kemusykilan mereka terhadap agama Islam. Di samping itu, sebagai kesempatan kepada masyarakat non-muslim untuk melalui pengalaman sendiri Iftar bersama di bulan Ramadan yang penuh keberkahan ini.  Program juga sebagai metodologi da'wah dengan cara hikmah kepada non-muslim serta melengkapi pemandu pelancong dengan pengetahuan asas da'wah.

Pada sesi Program Masjid Tour, Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar.  Diikuti dengan Ucapan Alu-aluan dari Pengerusi Belia Muallaf As-Syahadah.  Diteruskan dengan taklimat ringkas mengenai Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dan kemudiannya sesi lawatan masjid (Masjid Tour) mengikut kumpulan masing-masing.

Manakala bagi Program Iftar Mahabbah, majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, dan Doa Selamat.  Diteruskan dengan Ucapan Alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.  Acara diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan tazkirah menjelang sungkai.


Foto: PDI