بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Belait, Sabtu, 07 Ramadan 1446 bersamaan 08 Mac 2025-Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, pelbagai aktiviti keagamaan khususnya yang melibatkan golongan Muallaf di kawasan pedalaman giat diungkayahkan yang mana hari ini rombongan Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Majlis Bertadarus Ramadan bertempat di Balai Ibadat Kampung Merangking, Ulu Belait.
Hadir sama selaku Ketua Rombongan ialah Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah. Turut hadir Yang Mulia Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Yang Mulia Datin Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub, Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, Yang Mulia Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidup, Pegawai Perkembangan Ugama, para pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah dan Unit Da'wah Daerah Belait serta ahli Persatuan Sinar Islam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh Ketua Rombongan. Diikuti dengan acara Tadarus dan Sembahyang Fardhu Zohor berjemaah. Seterusnya, Munajat Ramadan secara maya anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar Negara Brunei Darussalam sentiasa diberi perlindungan daripada bala bencana dan segala jenis penyakit.
Kunjungan seumpama ini diadakan adalah juga bertujuan untuk mengajak para Muallaf bersama-sama menghayati bulan Ramadan dengan melakukan berbagai aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran, sembahyang berjemaah dan mendengar Tazkirah.
Pusat Da'wah Islamiah akan terus mengadakan Program bertadarus, berbuka puasa, Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isyak berjemaah seterusnya Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir bersama para Muallaf serta mengembangkan Syiar Islam di kawasan-kawasan pendalaman terpilih sepanjang bulan Ramadan ini.





Foto: PDI