بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Tutong, Selasa, 10 Ramadan 1446 bersamaan 11 Mac 2025–Dalam mengajak para Muallaf untuk sama-sama mengimarahkan masjid, surau, balai ibadat, pos da'wah serta rumah kegiatan ugama di kawasan masing-masing dan menyemarakkannya dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan berzikir di bulan Ramadan ini, lewat petang tadi Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan lagi kunjungan untuk bertadarus Al-Quran bersama Muallaf di Masjid Kampung Bukit, Mukim Ukong, Daerah Tutong.
Rombongan Pusat Da'wah Islamiah diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Penguasa Dakwah dan Tabligh, Pusat Da'wah Islamiah. Turut hadir Yang Mulia Awang Muhammad Hafizul Azmee bin Abdullah Zaman, Ketua Kampung Bukit dan Long Mayan, Daerah Tutong. Juga menyertai pegawai dan kakitangan Bahagian Penapisan dan Pameran, Pusat Da'wah Islamiah serta Unit Da'wah Daerah Tutong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan Tadarus Al-Quran oleh Imam masjid Kampung Bukit, Mukim Ukong, Daerah Tutong dan diselajurkan dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Seterusnya, penyerahan buku-buku terbitan Pusat Da'wah Islamiah oleh Ketua Rombongan untuk kegunaan Masjid Kampung Bukit, Mukim Ukong, Daerah Tutong. Acara diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isya' serta Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.
Aktiviti seumpama ini juga bertujuan untuk mengajak para Muallaf bersama-sama menghayati bulan Ramadan dengan melakukan berbagai aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran dan sembahyang berjemaah di samping untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara warga Pusat Da'wah Islamiah dan para Muallaf di negara ini.





Foto: PDI