بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Khamis, 19 Ramadan 1446 bersamaan 20 Mac 2025-Untuk mengajak para Rakan Seliaan bersama-sama menghayati bulan Ramadan, pelbagai aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran dan seterusnya khatam Al-Quran telah dijalankan. Selain itu, penyampaian dakwah turut disampaikan kepada mereka di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga Pusat Da'wah Islamiah dengan Pusat Reintegrasi, Persatuan AFSA (Aftercare Support Association) dan para Rakan Seliaan. Sehubungan itu, Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Penyebaran Da'wah (Kaunseling), berserta Pusat Reintegrasi, Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan Persatuan AFSA (Aftercare Support Association) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bersama Rakan Seliaan bertempat di Surau Perumahan Baitulmal, Kampong Selayun, Sengkurong pada petang tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Bahrin bin Haji Mohd Yassin, Pemangku Pengarah Penjara.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dayang Hajah Rosinah binti Haji Mangshor, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah; Yang Mulia Pengiran Muhammad Fuad bin Pengiran Haji Sulaiman, Pemangku Ketua Bahagian Penyebaran Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah; Yang Mulia Pengiran Roslinawati binti Pengiran Haji Omar, Ketua Pemulihan dan Reintegrasi, Penguasa Penjara, Jabatan Penjara dan Yang Mulia, Dayang Hajah Juhana binti Haji Mohd. Jaya, Yang Dipertua Persatuan AFSA, serta Rakan Seliaan dan Skim Pelepasan Sementara daripada Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al–Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awangku Mohd Aziman bin Pengiran Haji Rakawi, Pegawai Ugama, Bahagian Penyebaran Da'wah (Kaunseling). Diikuti dengan penyampaian Tazkirah pendek bertajuk “Kelebihan Membaca Al-Quran" yang disampaikan oleh Yang Mulia Haji Awang Badaruddin bin Haji Basar, Penolong Ketua Bahagian Penyebaran Da'wah (Kaunseling). Intipati tazkirahnya, antara kelebihan membaca Al-Quran ialah di akhirat kelak akan menjadi peneman bagi pembacanya, menjadi cahaya yang menyinari di dalam kegelapan. Membaca Al-Quran dapat menenangkan jiwa serta Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengangkat martabat golongan yang membaca Al-Quran. Di samping itu juga setiap satu huruf membaca Al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala dan membanyakkan doa meminta pengampunan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Majlis diselajurkan dengan bacaan Khatam Al-Quran dipimpin oleh ahli Rakan Seliaan, dan diteruskan dengan Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Kemudiannya penyampaian cenderahati kepada Rakan Seliaan.
Antara objektif aktiviti tahunan tersebut diadakan juga adalah untuk menggalakkan para Rakan Seliaan bagi sama-sama menyemarakkan bulan Ramadan yang penuh berkah di samping melipatgandakan pahala serta amal ibadah.





Foto: PDI