Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM DORONG MUALLAF SENTIASA BACA AL-QURAN

20 March 2025

MAJLIS KHATAM DORONG MUALLAF SENTIASA BACA AL-QURAN

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Belait, Khamis, 19 Ramadan 1446 bersamaan 20 Mac 2025-Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Da'wah Islamiah sentiasa berusaha untuk memberikan bimbingan berbagai ilmu pengetahuan Islam khusus dalam bidang bacaan Al-Quran, melalui Kelas Bimbingan Mualaf secara berterusan.

Sehubungan itu, Persatuan Sinar Islam (PSI) Daerah Belait mengungkayahkan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan 1446 Hijrah. Majlis diadakan di Barek Guru-Guru Ugama Paduka Sultan Omar Ali Saifuddien, Belait pada petang tadi.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Sarbiah binti Haji Jumat, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis turut dihadiri oleh Yang Mulia Hajah Ruzaimah binti Haji Ibrahim, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Yang Mulia Awang Abdul 'Alim bin Abdullah Igol, Yang Di Pertua Persatuan Sinar Islam, para Pegawai dan Kakitangan Bahagian Sumber Manusia, Perancangan dan Penyelidikan,  Bahagian Kajian dan Penerbitan, dan Unit Da'wah Daerah Belait serta penghuni Rumah Panjang Kukup, Mukim Sukang.

Antara lain tujuan majlis ini ialah sebagai sarana Da'wah disamping mengeratkan hubungan Silaturrahim antara warga Pusat Da'wah Islamiah bersama Muallaf dan penghuni Rumah Panjang Kukub dan persekitarannya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Muskrisman bin Haji Safari, Pegawai Perkembangan Ugama yang juga membaca Doa Khatam dan doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awangku Abd Qayyum bin Pengiran Bakar, Pegawai Perkembangan Ugama (SkiPPA).

Majlis Khatam Al-Quran tersebut dihasratkan dapat memberi galakan dan sokongan padu kepada para Muallaf untuk menyedari akan keutamaan serta kepentingan mempelajari bacaan Al-Quran, di samping menanamkan keimanan yang kukuh terhadap Al-Quran.

Acara diisi dengan tazkirah yang bertajuk “Rebut Peluang di 10 Malam Terakhir Bulan Ramadan" yang disampaikan oleh Yang Mulia Awangku Abd Qayyum bin Pengiran Bakar, Pegawai Perkembangan  Ugama (SkiPPA); penyerahan buku-buku terbitan Pusat Da'wah Islamiah kepada Yang Di Pertua Persatuan Sinar Islam untuk kegunaan persatuan berkenaan; dan penyerahan buah tangan kepada seramai 25 buah keluarga terdiri daripada Penghuni Rumah Panjang Kukub dan sekitarnya. Majlis diakhiri

dengan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah serta Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir Berjemaah.


​Foto: PDI