بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Temburong, Isnin, 23 Ramadhan 1446H bersamaan 24 Mac 2025M–Dalam sama-sama meraih keberkahan di bulan suci Ramadan ini, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Abdul Razak Holdings Group of Hotels (ARH) dan Persekutuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam (BfWDA) petang tadi mengadakan program sumbangan berbagi rezeki menerusi Program Infak Ramadhan kepada enam (6) buah keluarga murid sekolah-sekolah ugama yang memerlukan, dalam sama-sama membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan lebih-lebih lagi dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.
Penyampaian sumbangan diadakan di lima buah kediaman keluarga di Daerah Temburong, dan sebuah kediaman di Kampung Perpindahan Lambak Kanan.
Hadir sama bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan asas harian yang dihantar ke rumah-rumah para penerima yang terpilih ialah Yang Mulia Awang Haji Suhaimei bin Haji Awang Besar, Pengarah Abdul Razak Holdings; Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam; Yang Mulia Awang Mazlani bin Mahadi, Timbalan Presiden BfWDA, serta ahli-ahli rombongan yang lain dari ketiga-tiga pihak yang terlibat.
Program Infak Ramadan tersebut merupakan kesinambungan Program Iftar Ramadhan 1446H yang diungkayahkan bersama oleh pihak Abdul Razak Holdings dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan amal kebajikan yang dianjurkan dalam ajaran Islam, di samping menyemai rasa tanggungjawab dan empati untuk membantu golongan yang memerlukan.