بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Selasa, 24 Ramadan 1446 bersamaan 25 Mac 2025–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui, Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin memaklumkan bahawa aduan telah diterima oleh Bahagian Kawalan Makanan Halal mengenai produk makanan iaitu biskut jenama Tim Tam keluaran Arnott's Biscuit Limited, Australia. Hasil pemeriksaan Jabatan ini mendapati bahawa produk berkenaan dikilang dan diproses menggunakan peralatan yang sama dengan produk yang mengandungi daging tidak halal.
Oleh yang demikian, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin memaklumkan kepada pemilik perniagaan yang menjual produk-produk makanan keluaran Arnott's Biscuit Limited, Australia di premis-premis mereka untuk segera diasingkan dan dijual di ruangan yang tidak terdedah kepada orang awam.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga ingin mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasaraya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk yang halal dan suci tidak bercampur dengan yang tidak halal. Ini demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini dari terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal.
Di samping itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada orang ramai di atas maklumat berhubung perkara tersebut dan bagi yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

Foto: JHES