بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kiarong, Jumaat, 27 Ramadan 1446 bersamaan 28 Mac 2025-Ibadah Qiamullail merupakan amalan sunat yang amat digalakkan dalam Islam lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan bertujuan untuk merapatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta memohon keampunan daripadaNya.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan Majlis Qiamullail Ramadan bagi Tahun 1446H/2025M pada awal pagi tadi bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong yang mana juga sebagai inisiatif untuk menghimpunkan warga Perkhidmatan Awam dan pada masa yang sama mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk mengimarahkan masjid-masjid di Negara ini.
Antara yang hadir pada Qiamullail Ramadhan awal pagi tadi ialah Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet dan Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri bersama para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari kementerian-kementerian, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei serta Belia Daie', Belia-Beliawanis Masjid, Muslimah Masjid dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid.
Turut sama mengimarahkan lagi Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dan meramai-ramaikan Majlis Qiamullail Ramadhan ialah para jemaah di kalangan orang awam.
Qiamullail Ramadan diisi dengan Sembahyang Sunat Tasbih secara berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame 'Asr Hassanil Bolkiah. Diikuti dengan bacaan Wirid dan Doa Sembahyang Sunat Tasbih. Kemudiannya, bacaan Doa Munajat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Haris bin Haji Suboh, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas.
Qiamullail Ramadan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama ini juga diadakan di masjid-masjid tumpuan di tiga daerah lain. Di Daerah Belait diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait. Manakala di Daerah Tutong, masjid tumpuan ialah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, dan bagi Daerah Temburong, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.






Foto: SkiPPA BPAAM