بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Jumaat, 28 Ramadan 1446 bersamaan 28 Mac 2025–Majlis Tadarus di masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama bersempena bulan suci Ramadan, berakhir pada malam tadi dengan Majlis Penutup Tadarus Al-Quran bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Tadarus Al-Quran di Masjid, Surau dan Balai Ibadat adalah salah satu syiar untuk memakmurkan masjid,
surau dan balai ibadat di negara ini dalam suasana masyarakat Islam tanpa mengira peringkat umur sama-sama memperdengarkan bacaan Al-Quran sekaligus mendekatkan diri dengan Al-Quran terutama
dalam menyemarakkan lagi bulan yang penuh berkat ini dengan melipat ganda amal ibadat semata-mata bagi meraih keampunan dan pahala besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin.
Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Isteri; Pemangku Ra'es KUPU SB, Yang Mulia Dr. Haji Abg Hadzmin bin Haji Abg Taha; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran Dan Kewangan), Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama serta jemaah masjid berkenaan.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis. Diteruskan dengan Tadabbur Al-Quran disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sejurus itu, acara Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Takhtim beramai-ramai dipimpin oleh para pegawai Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid serta para pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid. Diikuti dengan bacaan Doa Khatam dipimpin oleh Yang Mulia Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusop, Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien. Diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang, Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
Majlis Penutup Tadarus Al-Quran bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pentadbiran dan Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar 'Ali Saifuddien dan Radio Televisyen Brunei.





Foto: JHEU