بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Berakas, Ahad, 29 Ramadan 1446 bersamaan 30 Mac 2025–Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 01 Syawal 1446 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam akan jatuh pada hari Isnin, 01 Syawal 1446 Hijrah bersamaan 31 Mac 2025 Masihi.
Hasil Merukyah Awal Bulan Syawal 1446 Hijrah pada petang tadi telah diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri. Sehubungan dengan itu, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri bagi tahun 1446 Hijrah pada hari Isnin, 01 Syawal 1446 Hijrah bersamaan 31 Mac 2025 Masihi.
Permakluman tersebut adalah hasil persidangan mengenai hasil merukyah anak Bulan Syawal 1446 Hijrah pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Persidangan yang diadakan di Bilik As'syura, Tingkat 1, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II;
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syarie; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Naib Yang Di Pertua Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Majlis Ugama Islam Brunei.
Pada tahun ini, lima (5) buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak Bulan Syawal 1446 Hijrah iaitu: Daerah Brunei dan Muara di Bangunan Mutiara Exchange, Lebuhraya Tungku; Taman Rekreasi Tanjung Batu, Kampung Sabun, Pekan Muara; dan Bukit Agok, Jerudong. Manakala bagi Daerah Tutong bertempat di Bangunan Hilal Bukit Ambog; dan bagi Daerah Belait ialah di Bangunan Hilal Bukit Lumut.
Terdahulu, Acara Keagamaan bagi Menunggu Hasil Merukyah Awal Bulan Syawal 1446 Hijrah diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara Keagamaan bagi Menunggu Hasil Rukyah Awal Bulan Syawal 1446 Hijrah dimulakan dengan persembahan bacaan Al-Qur'an oleh Yang Mulia Awang Muhammad Ihtifazhuddin bin Suhaili, Pelajar Tahun 11, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Diikuti dengan Tazkirah Syawal disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nasyith bin Haji Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seterusnya, bacaan Tahlil dan Doa Arwah oleh Yang Mulia Awang Muhammad Amin bin Haji Salim, Ketua Pemantau Zon 3, Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang kemudiannya mengimamkan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Azan Maghrib dikumandangkan oleh Yang Mulia Awang Razman bin Haji Ramlee, Bilal Tingkat 1, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.
Sehubungan dengan itu, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidil Fitri adalah pada hari Isnin, 01 Syawal 1446 Hijrah bersamaan 31 Mac 2025 Masihi di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bermula pukul 7.30 pagi.





Foto: PDI