بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kilanas, Ahad, 14 Syawal 1446 bersamaan 13 April 2025–Kepentingan menjaga silaturrahim sebagai umat Islam merupakan antara perisian Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah semasa Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri Belia dan Beliawanis Masjid Senegara “Syawal Diraikan, Ukhuwah Dieratkan".
Kira-kira 200 orang belia masjid seluruh negara dan ahli jawatan kuasa takmir masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit hadir di Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri tersebut yang dianjurkan bersama oleh Kumpulan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit Mukim Kilanas dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid. Majlis diadakan di pekarangan Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit Mukim Kilanas pada pagi tadi.
Selain untuk meraikan bulan Syawal, acara tahunan ini juga membuka ruang kepada para belia untuk terus aktif berinteraksi secara sihat, mengasah potensi kepimpinan dan mengeratkan ukhuwah sesama belia dan juga masyarakat yang secara tidak langsung dapat mengimarahkan masjid sebagai tempat beribadah dan pusat pembangunan rohani, intelektual dan sosial.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan yang juga Penaung 1 Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit Mukim Kilanas.
Turut hadir Yang Mulia Awang Haji Ameerol Bahrynee bin Haji Abdul Hamid, Ketua Kampung Kilanas, juga selaku Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid Kementerian Hal Ehwal Ugama.




Foto: JHEM