بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Rabu, 24 Syawal 1446 bersamaan 23 April 2025–Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam hari ini menerima lawatan rasmi daripada rombongan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Malaysia yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato' Dr Haji Nooh bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor.Lawatan bertujuan untuk mendapatkan pandangan serta pemahaman yang lebih meluas mengenai Sistem Pendidikan Ugama di Negara Brunei Darussalam termasuk pelaksanaan Perintah Pendidikan Ugama Wajib. Di samping itu, untuk memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama dan persahabatan antara kedua-dua belah pihak.
Sehubungan dengan itu, bagi meraikan kunjungan daripada rombongan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, satu majlis makan tengah hari diadakan di Tarindak D'Seni, Bandar Seri Begawan yang dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama. Turut hadir ialah Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam.
Terdahulu, Yang Berhormat Dato' Dr Haji Nooh bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor dan rombongan pagi tadi mengadakan Kunjungan Hormat kepada Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama bertempat di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.
Turut hadir ialah Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan); dan Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan).
Kunjungan Hormat tersebut dimulakan dengan Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Diikuti Ucapan Balas daripada Yang Berhormat Dato' Dr Haji Nooh bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Seterusnya, rombongan diberikan taklimat mengenai Kementerian Hal Ehwal Ugama daripada Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, dan tayangan video Perkembangan Sistem Pendidikan Ugama di Negara Brunei Darussalam daripada Jabatan Pengajian Islam.
Yang Berhormat Dato' Dr Haji Nooh bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor serta rombongan berada di Negara Brunei Darussalam selama 3 hari mulai 22 hingga 24 April 2025.
Semasa berada di negara ini, rombongan berkesempatan melawat ke Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain, Tutong; Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok; dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Tutong.
Sepanjang lawatan, delegasi dari Negeri Johor tersebut mendengar taklimat, seterusnya berbincang serta bertukar-tukar pandangan, dan kemudiannya melawat ke beberapa buah kelas bagi meninjau sesi pengajaran dan pembelajaran Tahun IV serta Pendidikan Khas Ugama.
Kerjasama dalam bidang pendidikan ugama antara Negara Brunei Darussalam dan Negeri Johor telah terjalin sejak pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dengan mendatangkan 2 orang pegawai ugama dari Negeri Johor bertujuan untuk melaksanakan kajian terhadap pendidikan ugama yang dilaksanakan di sekolah-sekolah kerajaan ketika itu.








Foto: SkiPPA BPAAM