بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Berakas, Rabu malam Khamis, 25 Syawal 1446 bersamaan 23 April 2025-Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat pada Hari Kedua Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung malam tadi di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Seramai tiga (3) lagi Qari dan tiga (3) Qariah memperdengarkan bacaan Al-Qur'an masing-masing pada Hari Kedua Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dijunjung oleh
Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi; Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengendali Bersama Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II selaku Pengendali Bersama Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi serta Jawatankuasa Kerja Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.
Musabaqah kemudiannya dimulakan dengan bacaan Al-Qur'an dari tiga (3) orang peserta. Mereka adalah Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abd Rajid; Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Selawat نور الانوار ( Nuril Anwar) oleh gabungan Qari-Qari Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi, pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Brunei Shell Marketing Company Sendirian Berhad.
Musabaqah disambung dengan bacaan Al-Qur'an dari tiga (3) orang lagi peserta. Mereka adalah Dayang Nur Rodaah binti Haji Asmat ; Awang Haji Hazwan bin Haji Salim ; dan Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik kemudiannya berangkat meninggalkan Majlis setelah selesai bacaan enam (6) orang peserta bagi Hari Kedua Musabaqah.
Majlis Musabaqah berhenti rehat dan akan disambung pada Hari Ketiga dengan Majlis Pengumuman Keputusan bagi menentukan Johan Qari dan Qariah Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang akan diadakan esok, Hari Khamis malam Jumaat, 26 Syawal 1446 bersamaan 24 April 2025 di tempat yang sama bermula pukul 7.15 malam.
Tema Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi ialah “Akal Sihat Dengan Al-Qur'an".
Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Brunei Shell Marketing Company Sendirian Berhad.














Foto: SkiPPA BPAAM