بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Katok, Ahad, 28 Syawal 1446 bersamaan 27 April 2025–Bagi mengeratkan lagi silaturahim dalam suasana muhibbah dan saling bermaaf-maafan, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi menganjurkan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidil Fitri Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Tahun 1446H/2025M. Majlis diadakan di aras bawah bangunan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama serta Datin; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Isteri; Yang Mulia Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Isteri; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) dan Isteri; dan Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) dan Isteri. Juga hadir, ketua-ketua jabatan, pegawa-pegawai kanan dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama serta golongan Muallaf, para Belia dan Beliawanis Muallaf, Belia dan Beliawanis Masjid dan Muslimah Masjid.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Mohd Amin bin Haji Salim, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Di majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama Datin beserta rombongan juga turut berkesempatan beramah mesra dengan warga Kementerian Hal Ehwal Ugama di setiap reruai/petak (booth) dan seterusnya menikmati juadah yang disediakan.
Di samping menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam di negara ini, khususnya di peringkat Kementerian, ianya merupakan salah satu kegiatan sosial berkebajikan warga Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi mengeratkan lagi ukhuwah yang mesra dan harmoni sesama warga Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pihak-pihak yang berkepentingan.



















Foto: SkiPPA BPAAM