بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Panchor Mengkubau, Isnin, 29 Syawal 1446 bersamaan 28 April 2025–“Dan setelah dirasmikan itu masjid berkenaan pun ditakmirkan, iaitu dalam makna mengaktifkannya atau menghidupkan suasananya sebagai masjid yang dibina menurut undang-undang negara Bab 2 Akta Majlis Ugama Islam iaitu "bagi maksud mengadakan sembahyang, perkhidmatan-perkhidmatan dan lain-lain upacara yang berkaitan dengan ugama Islam". Untuk itu maka ditubuhkanlah Jawatankuasa Takmir termasuk juga jama'ah penasihatnya.
Demikian yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama di Majlis Penyampaian Surat Lantikan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau Sesi 2025 Hingga 2027 dan Ramah Mesra Hari Raya Aidil Fitri yang diadakan malam tadi di Masjid berkenaan.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menambah bahawa “Bagi Masjid An-Na'im ini, sejak ia dirasmikan perkara penubuhan Jawatankuasa Takmir telah difikirkan. Alhamdulillah sekarang telahpun dibentuk yang malam ini ialah majlis menyerahkan surat lantikan kepada ahli-ahli takmir yang telah dipilih. Oleh itu, sayugialah diingat akan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat 18 surah at-Taubah yang dibacakan tadi adalah memfokus kepada dua perkara, pertama ialah memakmurkan masjid, dan kedua ialah tentang orang yang tergolong sebagai orang yang memakmurkaan masjid".
Secara ringkasnya perkara yang pertama iaitu memakmurkan masjid ialah menjadikan masjid itu ramai didatangi atau dikunjungi, berkeadaan baik dan sentiasa dijaga atau dipelihara termasuklah kebersihan dan keindahannya.
“Sementara perkara kedua pula ialah orang yang mendatangi masjid itu adalah dengan keimanannya kepada Allah dan hari akhirat, melaksanakan perintah bersembahyang dan membayar zakat serta bersifat dan bersikap berani dengan hanya takut kepada Allah. Maka dengan yang sedemikian itu".
Sehubungan dengan itu, seramai 52 orang menerima surat lantikan Ahli Jawatankuasa Takmir masjid bagi Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau sesi 2025 hingga 2027 yang disempurnakan penyampaiannya oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Major Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud, Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid An-Na'im Kampong Panchor
Mengkubau; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim,
Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Juga hadir, pengarah-pengarah, para pegawai kanan dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, Ahli Jawatankuasa Takmir
Masjid An-Nai'm Kampong Panchor Mengkubau sesi tahun 2025 hingga 2027 serta penduduk[1]penduduk kampong di sekitarnya.




Foto: JHEM