بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Penanjong, Rabu, 2 Zulkaedah 1446 bersamaan 30 April 2025–Bagi menyambut baik kempen meningkatkan kesedaran kalangan jemaah masjid agar turut sama membantu dalam pembinaan masjid di Negara Brunei Darussalam melalui sumbangan derma ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong mengadakan forum bertajuk “Meraih Istana Syurga" mengenai Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam bertempat di Masjid Kampong Penanjong, Daerah Tutong pada pagi tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada forum tersebut ialah Yang Mulia Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Turut hadir Yang Berhormat Abdul Aziz bin Haji Hamdan; dan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Dilla Aiyad Kasyidi bin Ahmadi, Pegawai Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong. Forum dikendalikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Hadi bin Abd Rahman, Pegawai Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong selaku moderator forum dan ahli-ahli panel yang terdiri daripada Yang Mulia Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid dan Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid.
Antara tujuan forum diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan para jemaah masjid supaya bertanam saham di akhirat dengan menyumbangkan derma ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. Selain itu, untuk memberi pengetahuan dan kemudahan kepada jemaah masjid mengenai cara untuk menyumbang ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam serta cara berinfak selain daripada tabung yang dikhususkan. Di samping itu, untuk menyuntik motivasi mereka supaya terus berbakti kepada agama melalui sumbangan derma sebagai salah satu wadah penyebaran dan pengukuhan syiar agama.
Acara juga dimuatkan dengan penerangan peraturan kewangan untuk peletakan tabung, pembukaan tabung, pengiraan duit, penghantaran duit ke bank dan penghantaran laporan ke Urus Setia Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. Diselajurkan juga dengan sesi praktikal menderma menggunakan kod QR.


Foto: JHEM